Mufti Kerajaan Membentangkan Kertas Kerja “Pentadbiran Islam Cabaran Untuk Semua”

Pentadbiran Islam Cabaran Untuk Semua

Mengapakah Pentadbiran Islam dianggap cabaran untuk semua? Kerana Pentadbiran Islam itu sedang kita dapati seperti sudah tidak bertenaga lagi kerana diasak oleh pentadbiran bukan Islam. Inilah makanya ia patut diberi perhatian.

Pentadbiran Islam ialah mengelola atau mengurus negara atau kerajaan dengan cara Islam yakni dengan cara yang dikehendaki oleh Islam. Jika cara ini dapat dipenuhi, maka itulah “Pentadbiran Islam.”

Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan ketika membentangkan kertas kerja (melalui rakaman video) bertajuk “Pentadbiran Islam Cabaran Untuk Semua” di Seminar Antarabangsa MBI Kelantan 2024 (KelMIC’24) yang berlangsung di Grand Riverview Hotel, Kelantan, Malaysia pada Hari Selasa 03 Muharram, 1446H 09 Julai, 2024M

Maksud cara yang dikehendaki oleh Islam itu, tambah Yang Berhormat Pehin adalah meliputi perkara-perkara wajib atau fardhu, sunat dan harus.

Contoh perkara wajib atau fardhu itu, katanya ialah seperti belajar ugama, Akta atau Undang-Undang memperuntukkan kanak-kanak mesti bersekolah ugama.

Katanya ini berlaku di Negara Brunei Darussalam, di mana di bawah Akta Perintah Pendidikan Wajib Ugama, kanak-kanak yang berumur enam tahun ke atas yang belum baligh adalah dimestikan untuk bersekolah ugama, wajib untuk mendapat pendidikan ugama, demi supaya semua kanak-kanak di Brunei pandai sembahyang dan pandai membaca al-Qur’an, kerana hukum pandai membaca al-Qur’an adalah fardhu `ain, seperti juga hukum sembahyang. Jika tidak pandai membaca al-Qur’an, bagaimana boleh untuk mendirikan sembahyang?

“Inilah satu contoh mudah Pentadbiran Islam. Dalam era modern, orang jarang menyedari perkara ini, berbanding mata lebih terbuka kepada pentadbiran ala barat yang tidak menitik beratkan ugama. Pentadbiran ugama dianggap membebankan atau tidak mempunyai nilai ekonomi,” kata Yang Berhormat Pehin.

Tambahnya ini berlaku dalam era baru, sehingga kadang-kadang kita terkejut apabila keluar satu-satu statistik mendedahkan ramai di sekolah atau di pusat pengajian, penuntut atau pelajar yang tidak pandai sembahyang, dalam makna tidak pandai juga membaca al-Qur’an.

“Perkara ini pernah saya sebut dalam ucapan dan juga tulisan, bahawa seorang Penolong Pegawai Pelajaran dalam sebuah negeri di negara jiran memberitahu, menurut kajian, 51,000 daripada jumlah seramai 149,000 (kira-kira 34%) pelajar-pelajar tahun 2 hingga 6 didapati tidak tahu cara-cara sembahyang dan tidak lancar membaca al-Fatihah, suatu pertanda berlakunya kepincangan pentadbiran,” tegasnya.

Bagi kita orang Islam, tegasnya lagi perkara ini bukan isu remeh-temeh, tetapi isu besar yang menyangkut pertanggungjawapan di hadapan Allah Subhanahu wa Ta’ala kelak. Siapa sahaja yang mentadbir dari pihak Kerajaan atau Pemerintah akan ditanya: Mengapakah sampai berlaku terjadi rakyat tidak pandai sembahyang dan membaca al-Qur’an, mengapa?

Kalau mengikut Sayyidina ‘Umar bin al-Khatthab Radhiallahu ‘anhu, tegas Yang Berhormat Pehin bukan mentadbir manusia sahaja yang menjadi kewajipan pemerintah, bahkan mentadbir haiwan juga dikehendaki mesti betul dan sempurna. Jika tidak, juga akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak. Maka atas asas inilah Sayyidina ‘Umar sampai berkata memperingatkan dirinya: â€œKalau sekiranya binatang baghal tercedera di Iraq kerana jalan yang berlopak-lopak, nescaya Allah akan tanya saya (selaku pemerintah) wilayah Iraq, mengapakah engkau tidak baiki jalan yang berlopak-lopak itu, wahai ‘Umar?”

Begitu pentadbiran yang dikehendaki oleh Islam. Jika pentadbiran seperti ini wujud berlaku, jelas Yang Berhormat Pehin, maka Allah akan berkati negeri dan akan berkati segala isi di dalamnya.

Tetapi ini, tegasnya bukan mudah untuk berlaku, kecuali jika pemimpin adil, jika pemimpin pemikir dan jika pemimpin saleh, yang sanggup membawa penderitaan rakyat ke dalam dirinya, bukan memburu keuntungan daripada mereka, maka barulah dapat diharapkan pentadbiran berjaya.

Pentadbiran Islam itu, menurut Yang Berhormat Pehin perlu dilihat sebagai cabaran untuk semua? Kita mahu, pentadbiran biarlah benar-benar Islamik, kerana pentadbiran Islam sahaja menjanjikan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Kerana itu, tegasnya kita mesti berani membuat perubahan. Kita betulkan hukum untuk meraih keredhaan Allah. Kita bersihkan negeri dengan pentadbiran Islam, pentadbiran yang berpaksikan iman dan taqwa. Ini jika berlaku, maka Allah berjanji akan menurunkan dan mengeluarkan berkat dari langit dan dari bumi,

“Tidakkah ini prasyarat jelas, jika kita mentadbir, maka pentadbiran itu dikehendaki berpaksikan iman dan taqwa, maka barulah dapat diharapkan akan menghasilkan keberkatan yang dijanjikan.

“Jika pentadbiran masih mengiktiraf dan membenarkan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syara’ dan undang-undang, maka itu, bukan namanya pentadbiran Islam, dan wajar bagi pihak berkenaan mensifatkannya sebagai satu cabaran untuk dibetulkan. Disinilah, baru akan diketahui sama ada pemimpin yang ampunya pentadbiran itu seorang yang berkarisma ataupun tidak, yang mampu ataupun tidak untuk melakukan perubahan-perubahan sukar – demi Islam,” tegasnya.

KelMIC’24 menampilkan 12 pembentang kertas kerja menggunakan bahasa pengantaraan Melayu, Inggeris dan Arab.  Disamping Yang Berhormat Pehin, diantara sarjana yang turut menyampaikan kertas kerja ialah Prof. Dr. Salim Tomothy P. Daniels dari Universiti Hafstra, Hempstead, New York; Prof. Madya Dr. Abdullah Sani Usman dari Ar-Raniry State Islamic Universiti Darussalam, Banda Aceh, Indonesia dan beberapa ahli akademik dari Malaysia dan Singapura.

Seminar dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.