Penolong Mufti (Buhuth) Menghadiri 10th International Annual Conference On Fatwa Mui Studies Di Jakarta, Indonesia

Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong Mufti (Buhuth) hari ini bertolak ke Jakarta, Indonesia, sebagai wakil kepada Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan bagi menghadiri dan membentang kertas kerja di 10th International Annual Conference on Fatwa MUI Studies dengan tema “Peran Fatwa Dalam Mewujudkan Perdamaian Global dan Keharmonisan Ummat”, anjuran Majelis Ulama Indonesia (MUI).

Persidangan berkenaan akan berlangsung pada 26 hingga 28 Julai 2026 di Jakarta, Indonesia.

Turut mendampingi beliau ke persidangan tersebut ialah Ustaz Pengiran Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain, Pegawai Buhuth di Jabatan Mufti Kerajaan.

Persidangan tersebut berperanan sebagai wadah muhasabah dan penilaian terhadap fatwa-fatwa MUI, di samping menjadi platform bagi pertukaran pandangan serta perkongsian idea dalam kalangan ulama, cendekiawan, ahli akademik, dan penyelidik mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan peranan fatwa MUI dalam merealisasikan keamanan global serta memperkukuh keharmonian umat.