






Jabatan Mufti Kerajaan telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil dan Cenderahati Tamat Kursus Latihan Industri kepada 8 orang pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi Sesi Pengajian 2025/2026. Majlis tersebut berlangsung di Ruang Legar, Bangunan Darul Ifta’, Jabatan Mufti Kerajaan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi menyempurnakan majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai-pegawai kanan, pegawai, serta kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan dan para pelajar UNISSA.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah, diikuti dengan kata-kata nasihat daripada Yang Berhormat Mufti Kerajaan. Majlis seterusnya mendengarkan ucapan yang disampaikan oleh wakil pelajar Latihan Industri UNISSA bagi menyatakan penghargaan dan perkongsian pengalaman sepanjang menjalani kursus latihan di Jabatan Mufti Kerajaan.
Acara diteruskan dengan acara kemuncak iaitu penyampaian sijil tamat latihan dan cenderahati kepada 8 orang pelajar UNISSA yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Bagi memohon keberkatan, majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai bersama Tetamu Kehormat.
Latihan industri ini bertujuan untuk memberikan pendedahan secara praktikal, kemahiran pengurusan, serta pengalaman kerja sebenar kepada para pelajar UNISSA sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.