Ceramah di Program Perkembangan Profesional Jabatan At-Tarbiyah Al-Islamiyyah, SA RIPAD

Yang Mulia Ustazah Hajah Norasikin binti Haji Abdul Majid, Pegawai Istinbat Jabatan Mufti Kerajaan telah memenuhi undangan daripada Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SA RIPAD) bagi menyampaikan ceramah dalam Program Perkembangan Profesional anjuran Jabatan At-Tarbiyah Al-Islamiyyah sekolah berkenaan. Majlis berlangsung pada 06 Ogos, 2026 bersamaan 22 Safar 1448 di Musolla Al-Firdaus, SA RIPAD.

Turut hadir ialah Yang Mulia Ustazah Hajah Siti Aishah binti Haji Abu Bakar, pegawai Buhuth dan Yang Mulia Hajah Surayani binti Sabtu, pegawai Istinbat.

Tajuk ceramah yang dibawakan adalah bertajuk “Fiqh Wanita: Pengurusan dan Kefahaman Mengenai Haid”. Program ini telah dihadiri oleh para pelajar Sanah 5 dan Sanah 6 serta barisan guru dan kakitangan perempuan sekolah berkenaan.

Dalam penyampaiannya, Yang Mulia Pegawai Istinbat telah mengupas secara terperinci konsep haid dari sudut syarak bagi memastikan para penuntut dapat memahaminya dengan tepat. Beliau turut menggariskan panduan yang betul mengikut landasan Islam dalam menghadapi perubahan diri dari segi fizikal mahupun emosi apabila melangkah ke alam baligh, sekali gus membimbing para pelajar agar lebih berilmu dan berkeyakinan dalam menunaikan kewajipan agama.

Penganjuran ceramah ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal dan kefahaman yang mendalam serta jelas mengenai hukum-hukum berkaitan haid, di samping menegaskan kepentingannya dalam pelaksanaan ibadah dan kehidupan seharian seorang Muslimah. Usaha sama ini juga mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Mufti Kerajaan dalam menyebarkan kefahaman hukum syarak serta memberikan bimbingan keagamaan kepada warga institusi pendidikan dan masyarakat awam di Negara Brunei Darussalam.